BELUM mula bertempur, tonggak Selangor FC iaitu Noor Rawabdeh terpaksa melupakan hasrat untuk membantu pasukannya dalam aksi getir bertemu Jeonbuk Hyundai bagi saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada Rabu.
Skuad Gergasi Merah mengesahkan Rawabdeh mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di lutut kanannya susulan kecederaan pada aksi seri 1-1 menentang PDRM FC di Stadium Selayang, Selangor bagi saingan Liga Super 2024/2025.
Rawabdeh difahamkan perlu berehat selama sembilan bulan, ia pastinya akan merencatkan persiapan Gergasi Merah bagi menghadapi baki saingan Liga Super 2024 serta kempen ACL2 yang dijangka Selangor akan mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.