BOLA Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.
IA harus menepati pertembungan bertaraf lima bintang dalam suku akhir Piala Asia di antara dua bekas finalis, Australia dan Korea Selatan, di Stadium Al Janoub malam ini (11.30 malam tempatan).
Menambah perisa kepada pertemuan itu, kedua-dua pasukan akan bersemuka buat kali pertama selepas sembilan tahun.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Final Piala Asia 2015 di Stadium Australia pada tanggal 31 Januari itu menyaksikan Massimo Luongo menulis sejarah buat skuad Socceroos dengan gol kemenangan 2-1 dalam masa tambahan selepas Song Heung-min yang baru berusia 22 tahun mengikat kedudukan pada minit ke-91.
Kem skuad Pahlawan Taeguk itu berkeras bahawa mereka tidak menganggap pertemuan ini sebagai kesempatan membalas dendam.
Dalam pada itu, ia akan tetap mengembalikan ingatan kepada kepedihan yang ditanggung Son – seorang daripada tiga pemain skuad yang tewas itu yang masih kekal dalam pasukan kali ini.
Pada usia 31 tahun kini, ia seakan-akan menghadirkan kesempatan terbaik buat Son dan Korea mengakhiri penantian 64 tahun bagi menjulang Piala Asia buat kali ketiga.
Namun, selepas mengirim pulang satu lagi bekas juara, Arab Saudi, dalam pusingan 16 terakhir, ikhtiar mereka tidak akan bertambah mudah.
Di atas kertas, ini mungkin bukan barisan terkuat Australia dibandingkan dengan skuad Socceroos sepanjang satu dekad lalu tapi kejayaan meraih tiga kemenangan dan satu seri dengan menyumbat lapan gol dan bolos cuma satu tetap menceritakan sesuatu.
Heung-min pastinya akan menjadi sasaran Australia dalam aksi suku akhir pada Jumaat. — Instagram/TheKFA
Sudah banyak yang dibualkan bagaimana Australia akan banyak memberi tumpuan kepada Son – penyerang Tottenham Hotspur yang ditakrif berkelas dunia – namun kata pemutus akan lebih berkisar kepada persaingan sengit untuk menguasai barisan tengah.
Kelebihan mungkin dilihat pada gandingan Hwang In-beom dan Lee Jae-sung seperti mana mereka mengawal tempo buat Korea sejauh ini tetapi Australia mungkin memiliki idea berbeza dengan Jackson Irvine dan rakan-rakan siap sedia untuk mengenakan tekanan terhadap lawan dalam memenangi penguasaan.
Ketua jurulatih, Jurgen Klinsmann, percaya kejayaan menyingkirkan Arab Saudi dalam penentuan sepakan penalti dalam pusingan 16 awal pagi semalam akan memberi pasukannya lonjakan semangat yang dicari-cari untuk mengatasi kepenatan beraksi dalam jadual yang padat.
Skuad Pahlawan Taeguk itu hanya memiliki lebih sedikit daripada dua hari untuk memulihkan tenaga bagi berdepan lawan yang dibimbing Graham Arnold – selepas mengharungi aksi 120 minit dan tekanan emosi penentuan penalti ketika menyingkirkan skuad Helang Hijau kendalian Roberto Mancini itu
“Kemenangan ini (ke atas Arab Saudi) memberikan pasukan saya lebihan tenaga yang banyak, malah membekalkan kami semangat yang diperlukan. Ini adalah sekumpulan pemain yang memberikan saya banyak kegembiraan bekerjasama dengan mereka kerana mereka bermati-matian mahu menghadiahkan negara mereka kejayaan dalam kejohanan ini,” kata Klinsmann.
“Kami berhabis-habisan mahu menang sebelum penentuan sepakan penalti kerana apa sahaja boleh berlaku dalam sepakan penalti. Kami akan kembali pulih, kami memiliki semangat tinggi dan kami bagaikan tidak sabar untuk menghadapi Australia, sebuah pasukan bagus yang baru menang 4-0 (ke atas Indonesia dalam pusingan 16),” tambahnya.
Klinsmann tidak sabar untuk menghadapi Australia di saingan suku akhir Piala Asia 2023. — Instagram/TheKFA
Skuad Klinsmann itu dikerah bekerja keras untuk kemenangannya oleh juara tiga kali, Arab Saudi, dengan Abdullah Radif memberikan tuan rumah Piala Asia 2027 itu pendahuluan sejurus selepas rehat.
Ia memerlukan Korea sehingga minit ke-99 untuk mengikat kedudukan apabila Cho Gue-sung menanduk masuk dari jarak dekat untuk permainan dilanjutkan ke masa tambahan dan seterusnya penentuan sepakan penalti.
Penjaga gol kelab Ulsan Hyundai, Jo Hyeon-woo, cemerlang menyelamatkan sepakan penalti Sami Al Naji dan Abdulrahman Ghareeb – meninggalkan penyerang Bolton Wanderers, Hwang Hee-chan, untuk menyempurnakan sepakan penalti kemenangan.
“Kami tahu ini adalah perlawanan sukar berdepan barisan Arab Saudi yang sangat bagus. Tentunya kami gembira. Kami sepatutnya menjaringkan beberapa gol daripada peluang yang kami miliki tapi Arab Saudi juga mendapat beberapa peluang hinggalah ke penentuan sepakan penalti itu,” kata Klinsmann.
“Kami telah bersiap-sedia untuk sepakan penalti, malah kami berlatih untuk itu. Hyeon-woo pula menyelamatkan dua sepakan dan ia sesuatu yang cemerlang. Kini kami akan memusatkan tumpuan terhadap aksi suku akhir,” tambahnya.
Hee-chan menyempurnakan sepakan penalti kemenangan sewaktu Korea Selatan menewaskan Arab Saudi. — Instagram/TheKFA
Mancini, yang terlalu kecewa dengan penyingkiran pasukannya, turut memohon maaf kerana lebih awal memasuki terowong pemain sebelum Hwee-chan meledakkan sepakan penalti terakhir ke penjuru kanan atas tanpa penjaga gol lawan, Ahmed Al-Kassar, berpeluang melakukan apa-apa.
Jurulatih dari Itali itu, bagaimanapun, menegaskan dia akan terus bersama pasukan.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pemain saya di atas apa yang telah mereka lakukan. Tidak syak lagi bahawa mereka telah banyak meningkat.
“Dalam bola sepak, anda boleh tewas dan anda boleh menang. Bermain menentang sebuah pasukan yang sangat kuat, pemain-pemain saya telah memberikan sehabis daya mereka. Kesudahannya, kami hanya tewas dalam penentuan sepakan penalti dan ia adalah umpama loteri.
“Adalah jelas kami perlu terus meningkat kerana kami mahu bermain di peringkat ini. Jika kami mahu menang ke atas pasukan-pasukan di peringkat ini, kami perlu melakukan lebih kerja lagi,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram