Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.
CUMA seminit memisahkan Korea Selatan daripada kepulangan awal dari pusingan 16 Piala Asia Qatar 2023 tapi dua pemain – penjaga gol Jo Hyeon-woo dan penyerang tinggi lampai Cho Gue-sung – tampil untuk mengubah nasib skuad Pahlawan Taeguk itu yang kini mungkin mara hingga ke saingan kemuncak.
Korea menyingkirkan Arab Saudi 4-2 dalam penentuan sepakan penalti awal hari ini selepas Cho, yang bermula untuk aksi-aksi peringkat kumpulan tapi kurang menyerlah, diperkenalkan sebagai pemain gantian untuk menanduk masuk gol penyamaan 1-1 dalam masa kecederaan. Masa tambahan gagal menghasilkan tambahan jaringan.