DUA acara iaitu Sidang Kemuncak Bola Sepak Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) dan mesyuarat exco Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kali ketiga di Jeddah, Arab Saudi mampu mengeratkan hubungan sukan itu di peringkat Asia dan dunia.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Ahli Majlis Fifa optimis hubungan bola sepak Asia dan dunia bertambah erat memandangkan kedua-dua acara berkenaan diadakan seiring dengan pertandingan Piala Kelab Dunia Fifa yang berlangsung bermula 12 Disember dan dijadual berakhir pada Jumaat.
“Bagi saya, pertemuan dan mesyuarat ini mampu mengeratkan hubungan persaudaraan bola sepak Asia dan dunia kerana ia diadakan di Jeddah bersempena dengan Piala Kelab Dunia Fifa dan Sidang Kemuncak Bola Sepak Fifa,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook FAM pada Jumaat.