TIDAK kira di mana sekali pun, budaya buli sentiasa ada dan menghantui kita. Perbuatan tersebut nyata meninggalkan kesan baik secara fizikal atau mental kepada si mangsa.
Ia terjadi di mana-mana saja baik dekat sekolah, pejabat atau pasukan bola sepak. Dalam sesebuah skuad, unsur buli tetap berlaku walaupun ia mungkin tidaklah digembar-gemburkan seperti di tempat lain.
Bagi bekas pemain Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC, Azmeer Yusof, dia juga tidak lari daripada menjadi mangsa buli dalam kariernya. Menurutnya, dia pernah berdepan beberapa situasi sukar akibat buli ketika menjadi pemain muda.