Bola Pegun menemui pembaca dengan tumpuan kepada pemain beragama Islam yang tetap cekal mengerah kudrat di padang sepanjang Ramadan. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai pasukan-pasukan di pelbagai liga dengan kisah mereka masing-masing.
PERSEKUTUAN Bola sepak Perancis (FFF) sekali lagi menimbulkan keributan susulan larangannya untuk pemain-pemain Muslim berpuasa sepanjang Ramadan ketika berlatih dengan pasukan kebangsaan – mencetuskan tuduhan diskriminasi dan memecah-belahkan pasukan.
FFF dilaporkan sudah memaklumkan kepada pemain-pemain Muslimnya bahawa mereka tidak dibenarkan berpuasa di pusat latihan Clairefontaine. Mereka hanya boleh meneruskan berpuasa selepas berakhirnya jadual pertandingan antarabangsa.