POLIS menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan insiden pergaduhan membabitkan penyokong kelab bola sepak Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.20 malam di sebuah stesen minyak dan disyaki berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar Stadium Bandaraya, Pulau Pinang selepas menyaksikan perlawanan Liga Super.
“Selepas menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut tiba di lokasi bagi mengawal keadaan. Polis merampas dua batu, dua kon jalan dan sebatang kayu dipercayai digunakan oleh kesemua suspek semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.