PERLAWANAN penting membabitkan Harimau Malaya dan Harimau Muda sering kali diadakan pada tarikh yang hampir sama sehingga menyaksikan ada pemain muda terpaksa digunakan khidmatnya untuk skuad senior kerana kualiti dimiliki mereka.
Isu perebutan pemain untuk tugasan negara ini bukan perkara asing lagi apabila pada 10 tahun lepas menyaksikan dua pengendali kebangsaan ‘berebut’ beberapa pemain untuk memperkuatkan skuad masing-masing.
Masalah perebutan pemain berkenaan melibatkan Datuk Ong Kim Swee yang ketika itu melatih Harimau Muda dan akan terlibat dengan kejohanan Pestabola Merdeka sementara Datuk K. Rajagobal pula memerlukan beberapa tonggak untuk memperkuatkan pasukan senior bagi perlawanan antarsbangsa tier 1.