KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya kekal fokus dan mengelak mengulangi insiden bolos awal dalam misi wajib menang menentang Hai Phong FC dalam aksi keempat Kumpulan H saingan Piala AFC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.
Beliau berkata, mentaliti seperti itu perlu dikekalkan sehingga wisel penamat bagi memastikan Sabah mampu mengekalkan rentak permainan dan segala perancangan serta strategi diatur dalam perlawanan mampu dilaksanakan dengan sempurna oleh pemain Skuad Badak itu.
“Kita tidak mahu dibolosi awal seperti perlawanan sebelum ini dan kita jadikan pengajaran…pastikan kekal fokus sehingga wisel penamat. Kita mahu menang esok dan layak secara automatik ke pusingan seterusnya,” katanya pada sidang media praperlawanan di Kota Kinabalu pada Rabu.