DI atas kertas, Johor Darul Takzim (JDT) dilihat mempunyai peluang cerah untuk menewaskan Perak FC dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia dan sekali gus memudahkan perjalanan untuk mendapat slot perlawanan akhir kejohanan tersebut.
Dari segi kedudukan di saingan domestik sahaja sudah menceritakan kekuatan Harimau Selatan terutamanya selepas kelab dari Selatan tanah air itu dinobatkan sebagai juara 10 kali berturut-turut Liga Super baru-baru ini.
Namun, carta semasa tidak memberi tiket untuk JDT memandang rendah kekuatan pasukan Perak FC yang semakin lama dilihat berkemampuan membenam beberapa pasukan kuasa besar bola sepak domestik seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC.