PRESTASI tidak menentu yang dialami Penang FC musim ini sudah tentu menyebabkan rata-rata penyokong pasukan tersebut mahu saingan Liga Super 2023 ditamatkan segera.
Meskipun mencatatkan permulaan kempen dengan agak memberangsangkan, kehilangan pemain akibat kecederaan serta isu konsistensi menyebabkan skuad Harimau Kumbang mula kehilangan arah.
Enam kekalahan berturut-turut dalam Liga Super menyaksikan kedudukan pasukan itu dalam carta tergugat apabila mereka kini terikat dari segi pengumpulan mata dengan Perak FC.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Walaupun berjaya melangkah ke separuh akhir MFL Challenge Cup, persembahan tidak menentu dalam peringkat suku akhir berdepan Harini FT juga menjadi bahan bualan penyokong.
Perubahan pastinya diharapkan peminat setia kelab untuk musim akan datang apabila mereka mahu skuad Harimau Kumbang menampilkan aksi lebih konsisten dalam Liga Super.
Yee Fatt (dua dari kanan) sering diberi tekanan daripada penyokong skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Antara langkah awal yang didesak adalah dengan mengharapkan supaya ketua jurulatih semasa, Chong Yee Fatt digantikan dengan pengendali lebih berkualiti.
Harapan berkenaan seperti didengari Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen yang mula membuat beberapa perubahan terhadap struktur pengurusan kelab.
Selepas menggugurkan pengarah teknikal serta pengurus pasukan, terdapat perkhabaran bahawa Penang FC bakal menerima pengendali baharu musim depan.
Bagaimanapun, sehingga kini, masih tiada perkembangan lanjut mengenai calon yang akan dilantik dengan ura-ura mengatakan terdapat lima permohonan untuk jawatan itu diterima.
Namun, perkembangan terkini daripada sumber dalaman Majoriti mendapati terdapat kemungkinan skuad Harimau Kumbang bakal menerima bimbingan jurulatih dari Korea Selatan.
Meskipun latar belakang mengenai calon itu juga masih tidak diumumkan, tiga nama dilihat cukup berkemungkinan untuk menggantikan Yee Fatt pada musim akan datang.
1. Choi Moon-sik
Salah seorang jurulatih kelahiran Korea Selatan yang pernah menabur khidmat dalam Liga Super ialah bekas pengendali Kelantan FC, Choi Moon-sik pada awal musim ini.
Dia yang dibawa masuk memikul tanggungjawab besar memandangkan skuad The Red Warriors (TRW) berada dalam Liga Perdana musim lalu.
Jadi, tidak hairanlah apabila dia hanya mencatatkan empat mata daripada tujuh perlawanan Liga Super dengan rekod pertahanan cukup mengecewakan.
Moon-sik hanya bertahan beberapa bulan bersama skuad TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC
Bagaimanapun, situasi berkenaan tidak menceritakan mengenai kegagalan Moon-sik sebagai seorang jurulatih apabila pasukan Pantai Timur berkenaan terus bergelut meskipun sudah menggantikannya.
Oleh itu, sekiranya Penang FC sememangnya bercita-cita besar untuk menggunakan khidmat pengendali dari Korea Selatan, bekas jurulatih skuad TRW terbabit boleh dianggap sebagai calon terbaik.
Meskipun tidak memiliki rekod cemerlang, pengalamannya yang berharga dalam Liga Super merupakan salah satu elemen terbaik untuk mengangkat namanya.
Bagaimanapun, keputusan untuk melantiknya dikhuatiri hanya akan ditolak penyokong Penang FC memandangkan jurulatih berusia 52 tahun itu memiliki rekod yang kurang memberangsangkan.
2. Park Bo-bae
Tidak boleh dinafikan bahawa perubahan yang dibawa pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sememangnya menjadi salah satu sebab skuad kebangsaan berada di tahap lebih baik ketika ini.
Jadi, sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih untuk tidak menyambung kontraknya, beberapa kelab Liga Super, termasuk Penang FC tentu akan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Bagaimanapun, statusnya yang cukup dikenali di seluruh Asia pastinya akan menyukarkan hasrat skuad Harimau Kumbang untuk membawanya masuk, lebih-lebih lagi sekiranya permintaan gajinya semakin tinggi.
Bo-bae (kiri) dibawa masuk Pan-gon (dua dari kanan) ke dalam Harimau Malaya.
Namun, jika pasukan Utara tanah air tersebut masih berminat untuk menggunakan khidmat jurulatih dari Korea Selatan, pembantu kepada Pan-gon, Park Bo-bae dilihat sebagai alternatif cukup baik.
Jurulatih berusia 38 tahun tersebut sebelum ini dibawa masuk bersama-sama Pan-gon meskipun tidak memiliki pengalaman mencukupi,
Tetapi, ia tidak menjadi penghalang buatnya membuktikan kebolehannya apabila kehadirannya boleh dianggap sama penting jika hendak dibandingkan dengan Pan-gon.
Sekiranya Penang FC mampu memberikan ruang buat Bo-bae membangunkan sebuah pasukan, terdapat kemungkinan dia akan tertarik memandangkan ia akan menjadi platform terbaik dalam karier kejurulatihannya.
3. Kim Do-hoon
Berdasarkan profil jurulatih Korea Selatan di pasukan-pasukan sekitar Asia Tenggara, terdapat pelbagai calon yang dilihat cukup berpotensi untuk membimbing Penang FC musim depan.
Salah seorangnya ialah bekas pengendali Lion City Sailors, Kim Do-hoon yang ketika ini tidak terikat dengan mana-mana pasukan.
Setelah menamatkan kariernya sebagai pemain pada 2005, jurulatih tersebut memilih untuk bergelar seorang pengendali dengan skuad belia Korea Selatan menjadi destinasi pertamanya.
Bagaimanapun, Do-hoon tidak perlu menunggu lama untuk mempamerkan bakatnya apabila menjuarai Liga Juara-juara AFC (ACL) 2020 bersama Ulsan Hyundai.
Do-hoon memiliki reputasi cukup megah bersama Lion City Sailors. — Agensi
Tempoh perkhidmatannya bersama jaguh bola sepak Korea Selatan itu juga tidak berpanjangan apabila dia memilih untuk mencuba nasib di Singapura bersama Lion City Sailors.
Langkah tersebut boleh dianggap sebagai satu tindakan cukup bijak buatnya memandangkan Do-hoon sekali lagi membuktikan kebolehannya dengan memenangi Liga Perdana Singapura pada 2021.
Tetapi, pengendali berusia 53 tahun tersebut sekali lagi mencipta kejutan setelah menamatkan kontraknya dengan Lion City Sailors pada musim berikutnya akibat insiden di luar padang.
Sekiranya Penang FC memiliki cita-cita besar, bekas penyerang skuad kebangsaan Korea Selatan berkenaan boleh dianggap sebagai penyelesaian terbaik buat mereka.
Namun, statusnya yang cukup dihormati semestinya akan menyukarkan cita-cita tersebut, lebih-lebih lagi jika permintaan gajinya sukar direalisasikan.
Bagaimanapun, jika benar skuad Harimau Kumbang mahu dikendalikan jurulatih kelahiran Korea Selatan, pertemuan serta perbincangan bersama Pan-gon dilihat sebagai satu langkah yang baik memandangkan pengendali Harimau Malaya itu sudah cukup memahami landskap bola sepak tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram