PENGESAHAN Johor Darul Ta’zim (JDT) ke pentas akhir Piala Malaysia 2024/25 tidak mematahkan semangat dua lagi pasukan, Sri Pahang FC dan Sabah FC untuk mengiringi juara bertahan itu ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Ini kerana kedua-dua pasukan terbabit sudah lama tidak berasakan kejayaan beraksi dalam perlawanan akhir selepas kerap berputih mata dalam kempen-kempen sebelum ini.
Jadi, tidak hairanlah apabila laporan setakat ini menyebut tiket di Stadium MP Temerloh, Pahang untuk perlawanan pada Ahad tersebut sudah habis dijual.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: Nostalgia Piala Malaysia musim 2014 gamit memori Fandi, Sri Pahang
BACA LAGI: Bukan Pawi, entah mengapa Ott-Akhyar rupanya mesin gol Terengganu di Piala Shopee
Kedua-dua pasukan terikat selepas aksi pertama di Stadium Likas. — Facebook/Sri Pahang FC
Peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan memandangkan dalam pertembungan pertama yang lalu, mereka terikat 1-1 dengan Stuart Wilkin dan Kpah Sherman menjaringkan gol buat kelab masing-masing.
Bagaimanapun, berdasarkan penilaian, kelebihan lebih berpihak kepada skuad Tok Gajah yang hadir dengan status tuan rumah berbanding Sabah FC atas beberapa faktor utama.
Berikut merupakan tiga sebab Sri Pahang merupakan pasukan pilihan untuk bertemu JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini, sekali gus berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan dialami mereka.
1. Sokongan kukuh Pahang di laman sendiri
Musim ini, Sri Pahang FC bukanlah pasukan yang cemerlang dalam semua pertandingan di peringkat domestik apabila hanya berada di tangga ke-10 Liga Super selain tersingkir awal dalam Piala FA kepada Penang FC.
Namun, prestasi tidak menentu itu tidak mematahkan semangat penyokong kelab Pantai Timur itu daripada terus hadir ke stadium untuk memberi sokongan terbaik buat anak-anak buah Fandi Ahmad.
Penyokong skuad Tok Gajah sanggup beratur di Stadium MP Temerloh. — Facebook/Sri Pahang FC
Bukti terbaik sudah dijelaskan di atas apabila laporan ketika ini menyebut Stadium MP Temerloh yang dipilih sebagai venue perlawanan akan dibanjiri penyokong kedua-dua pasukan.
Malah, berdasarkan kepingan foto yang mula dikongsikan, penyokong setia pasukan terbabit sanggup beratur di perkarangan stadium pada Sabtu untuk membeli tiket secara fizikal dengan ia menceritakan kesetiaan masing-masing.
Hal itu membuktikan sorakan daripada peminat Tok Gajah akan membakar semangat pemain pasukan yang mahu membalas jasa peminat yang sanggup hadir menonton perlawanan berkenaan secara langsung.
2. Kehilangan tiga tonggak Sang Badak
Berdasarkan laporan rasmi, Manuel Hidalgo yang merupakan tonggak skuad Tok Gajah tidak akan dapat diturunkan kerana digantung akibat kad merah diterimanya dalam aksi pertama.
Ketiadaan pemain sayap itu sememangnya dikhuatiri penyokong Sri Pahang FC kerana import dari Argentina tersebut memiliki kebolehan amat sukar ditiru rakan sepasukannya.
Namun, Sabah FC turut mengalami derita sedemikian kerana melihat kepada khabar angin, mereka terpaksa melupakan khidmat tiga pemain yang tidak berada dalam tahap kecergasan terbaik.
Tae-su dilaporkan masih belum berada dalam tahap kecergasan terbaik. — Facebook/Sabah FC
Mereka merupakan dua pemain tengah, Stuart Wilkin dan Gary Steven Robbat serta kapten pasukan, Park Tae-su yang kesemua daripadanya amat diperlukan dalam skuad Martin Stano.
Walaupun kelab Borneo tanah air itu memiliki pilihan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan, kualiti ketiga-tiga pemain tersebut, terutamanya Stuart Wilkin jauh meninggalkan rakan sepasukannya.
Jadi, ketempangan skuad Sang Badak perlu dimanfaatkan sepenuhnya Fandi Ahmad sekiranya dia juga mahu menamatkan penantian hampir 10 tahun untuk mara ke final Piala Malaysia.
3. Rekod kemaraan ke perlawanan akhir
Seperti dinyatakan di atas, Sabah FC dan Sri Pahang FC sudah lama kempunan untuk melangkah ke pentas akhir mana-mana kejohanan yang menjadi tonik tambahan bagi mereka memberi usaha terbaik pada Ahad.
Tetapi, sekiranya perbandingan dilakukan, skuad Tok Gajah memiliki kelebihan kerana kali terakhir mereka berbuat demikian adalah ketika Piala FA 2018 sementara rekod terkini skuad Sang Badak hanya berentap dalam final lebih 20 tahun lalu.
Kali terakhir skuad Tok Gajah melangkah ke perlawanan akhir adalah pada 2018.
Meskipun hal itu tidak membawa pengaruh besar, ia menceritakan bagaimana skuad Tok Gajah memiliki pengalaman untuk mara sehingga ke pentas akhir berbanding Sabah FC.
Lebih manis lagi, aura Sri Pahang setiap kali melangkah ke perlawanan akhir sukar ditandingi kerana dalam tempoh 10 tahun yang lalu, mereka jarang dikecewakan dalam aksi sedemikian.
Sekiranya kesungguhan tersebut dapat disuntik Fandi dalam anak-anak buahnya, mereka pasti tidak akan berdepan sebarang masalah dalam mengulangi kisah terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram