BARU setahun jagung berkelana di bumi Thailand, bek tengah kental pasukan kebangsaan, Dion Cools secara tiba-tiba dikaitkan akan menyertai Terengganu FC (TFC) bagi membantu skuad Peteh mengharungi saingan musim 2024/2025.
Nama pemain pertahanan Buriram United FC itu mula disebut akan sertai Terengganu apabila pemerhati sukan, Hafizal Hamad bersama Zulhelmi Zainal Azam menerusi segmen Keluar-Masuk Liga Malaysia membincangkan nama-nama pemain baharu yang ditandatangani Sang Penyu.
Meskipun Terengganu dilabel sebagai antara pasukan gergasi domestik namun perpindahan pemain warisan Belgium-Malaysia itu kurang mendapat persetujuan penyokong dek Cools masih menikmati musim terbaik bersama Buriram.