MESKIPUN penyertaan bola sepak dalam kalangan wanita sudah semakin meluas namun hakikatnya penerimaan orang ramai ataupun penyokong domestik terhadap kaum Hawa yang bermain dalam sukan tersebut masih berada pada mentaliti kelas ketiga.
Mana tidaknya, sehingga kini masih ada komen-komen yang berbaur seksis dan kurang menyenangkan dilempar terhadap pemain wanita dalam negara setiap kali kejohanan berlangsung sama ada saingan liga domestik ataupun tugasan bersama pasukan kebangsaan.
Pasti ada pemain bola sepak wanita sukar menerima persepsi negatif tersebut namun tidak bagi pertahanan kental skuad Malayan Tigress, Eva Olivianie Antinus yang menterjemahkannya sebagai motivasi.