AKSI kelayakan Piala Asia B-23 akan bermula pada 6 September ini dengan skuad Harimau Muda bakal membuka tirai saingan bertemu Bangladesh.
Diletakkan dalam kumpulan H bersama-sama baki dua negara iaitu Thailand dan Filipina, ia adalah misi penting buat skuad kendalian E. Elavarasan bagi menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.
Hal ini kerana, sebagai juara kumpulan sahaja tempat ke pusingan akhir akan menjadi sah dan tidak perlu pertikaian lagi, tidak seperti laluan sebagai naib juara kumpulan.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Harimau Muda masih boleh layak ke sebagai naib juara, tetapi perlu menjadi empat pasukan tempat kedua terbaik daripada 11 negara dan ini masih lagi sukar dan amat memerlukan faktor nasib untuk membantu.
Kesemua pasukan di dalam kumpulan H mempunyai peluang untuk mendapatkan tempat terbaik. Namun begitu, adakah barisan kejurulatihan Harimau Muda sudah menyiasat dengan teliti siapakah mereka?
Tambahan pula jika tersingkir awal, pastinya ia membangkitkan kemarahan penyokong yang masih belum dapat melupakan duka kekalahan gagal ke final Kejuaraan B-23 AFF 2023 pada awal Ogos lalu.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, ini adalah analisis ringkas mengenai setiap pasukan bakal dihadapi Harimau Muda dalam kumpulan H.
1. Bangladesh
Lawan pertama Harimau Muda di Chonburi, Thailand ini adalah Bangladesh. Menjadi satu-satunya wakil Asia Selatan dalam kumpulan H, pertemuan diantara dua negara ini bukan sesuatu yang asing.
Bangladesh bagaimana pun merupakan sebuah pasukan yang mungkin boleh dianggap tidak terlalu berbahaya buat Malaysia. Namun begitu, itu bukanlah tiket kepada Elavarasan dan skuadnya untuk leka ketika bertarung.
Dua pemain yang boleh diberikan perhatian adalah Maraz Hossain dan juga Yeasin Arafat. Kedua-dua pemain ini mempunyai rekod pernah beraksi bersama skuad senior Bangladesh.
Yeasin Arafat mempunyai pengalaman luas dengan skuad senior Bangladesh. — Agensi
Maraz merupakan pemain tengah sementara Yeasin adalah pertahanan kiri yang perlu diberikan perhatian kerana dengan pengalaman yang ada pada mereka boleh mempengaruhi prestasi pasukan.
Dalam lima perlawanan terakhir, Bangladesh hanya berhasil mendapatkan satu kemenangan dan selebihnya adalah tewas. Mereka berjaya menewaskan Sri Lanka tetapi tumpas kepada Palestin, Kuwait, Uzbekistan dan Arab Saudi.
2. Filipina
Bagi Filipina pula, mereka adalah salah sebuah daripada skuad yang sudah lebih biasa dihadapi oleh Malaysia kerana berada di rantau yang sama.
Filipina adalah salah sebuah pasukan yang terkandas di peringkat kumpulan Piala AFF B-23 yang lalu, mereka menamatkan saingan di tangga kedua kumpulan C di belakang Vietnam dengan mengutip satu mata.
Yrick Gallentes pernah beraksi bersama Hibernian di Scotland. — Agensi
Bagi skuad ini, tumpuan boleh diberikan kepada Yrick Gallentes yang beraksi di sayap kiri. Pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di Scotland ini sudah mempunyai penampilan bersama-sama skuad senior Filipina sebanyak tujuh kali.
Selain Gallentes, seorang lagi pemain iaitu Dennis Chung boleh dianggap sebagai bintang utama Filipina. Pemain tengah menyerang ini sudah melakukan 10 penampilan bersama skuad B-23 negaranya dan menjaringkan dua gol.
Sudah tentu, kreativiti Chung perlu diberikan perhatian oleh Elavarasan kerana jika tidak dihalang, Malaysia pasti akan mempunyai masalah.
3. Thailand
Dianggap sebagai skuad paling berbahaya, Thailand mempunyai ramai pemain berkualiti yang sudah beraksi bersama-sama pasukan senior.
Semestinya calon pilihan untuk menjadi juara kumpulan, Thailand adalah punca mengapa Malaysia terpaksa berpuas hati sebagai pasukan tempat keempat dalam Piala AFF B-23 baru-baru ini.
Nama seperti Airfan Doloh merupakan nadi utama Thailand. Ketua pasukan ini sudah memenangi pelbagai kejuaraan termasuklah tiga gelaran liga, dua Piala Thailand dan dua Piala Liga Thailand.
Selain Airfan, Channarong Promsrikaew adalah ancaman di bahagian tengah yang perlu diselesaikan oleh Malaysia. Dalam saingan liga, dia sudah mencatatkan dua bantuan gol dalam tiga penampilannya bersama-sama Chonburi FC.
Airfan Doloh adalah nadi bahagian tengah skuad Thailand. — Agensi
Pemain ini sangat berpengalaman dalam beraksi bersama-sama pasukan kebangsaan Thailand. Channarong telah melakukan 24 penampilan di pelbagai peringkat umur selain 10 kali beraksi dengan pasukan senior.
Satu lagi pemain perlu diberikan perhatian adalah Teerasak Poeiphimai. Penyerang ini sudah menjaringkan tiga gol dalam lima penampilan bersama-sama skuad B-23 Thailand sambil mempunyai empat penampilan dengan pasukan senior.
Pemain Port FC ini pastinya adalah ancaman yang perlu dijaga dengan baik oleh pertahanan negara untuk mengelak daripada gawang dibocori.
Peluang itu ada
Sebenarnya, peluang itu ada untuk Malaysia mendapatkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 menerusi kumpulan ini. Jika nasib menyebelahi, Harimau Muda boleh merangkul gelaran juara kumpulan.
Namun itu semua memerlukan usaha keras untuk memastikan ia dapat diperoleh, peluang itu ada tetapi perlu dicari kejayaannya itu sehingga titis kudrat terakhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram