KEDAH Darul Aman FC terus bergelut dengan krisis dalaman apabila isu tunggakan gaji masih belum menemui penyelesaian, ditambah pula dengan kekurangan pemain sebelum menamatkan kempen Liga Super musim ini di kelompok tiga tangga tercorot.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong setia Hijau Kuning yang melihat pasukan kesayangan mereka semakin tenat menjelang aksi pembuka tirai Liga Malaysia musim depam.
Musim ini, beberapa perlawanan menyaksikan skuad Kedah terpaksa turun dengan jumlah pemain yang minimum, tanpa pemain simpanan mencukupi.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: [VIDEO] Sekian lama tidak kelihatan, kelibat Syafiq Ahmad, Rizal Ghazali curi perhatian
BACA LAGI: Bawa Quaresma ke Alor Setar, Kedah di landasan tepat usaha pulih kewangan — Ramon Marcote
Masalah kewangan yang membelenggu kelab sejak awal musim nyata memberi kesan besar kepada prestasi dan pengurusan pasukan.
Beberapa pemain utama sudah meninggalkan pasukan, manakala pemain yang masih kekal pula terus memberikan komitmen tinggi walaupun berdepan ketidakpastian masa depan.
Situasi itu turut mencetuskan persoalan sama ada Kedah mampu kembali bangkit memegang status sebagai kelab elit tempatan jika masalah ini berlarutan.
Para penyokong mengharapkan campur tangan segera pihak pengurusan atau kerajaan negeri bagi memastikan kelab bersejarah ini tidak terus tenggelam.
Dalam keadaan sukar itu, semangat dan pengorbanan pemain yang masih berjuang demi lencana di dada amat dihargai membuktikan bahawa walaupun diuji dari pelbagai sudut, jiwa dan maruah Kedah tetap belum rebah.
Bekas pengendali Kedah, Ramon Marcote juga tidak dapat memberikan jawapan yang pasti terhadap pelbagai persoalan yang timbul mengenai pasukan itu dari luar.
Namun, beliau tetap yakin sepenuhnya bahawa barisan kejurulatihan Kedah akan membuat pemilihan terbaik untuk memastikan pasukan kekal kompetitif walaupun berdepan kekangan.
“Hanya mereka yang berada dalam kelab sahaja yang mengetahui jawapan sebenarnya. Apa yang saya tahu dengan pasti adalah barisan kejurulatihan akan berusaha sedaya upaya untuk memilih pemain terbaik supaya pasukan kekal kompetitif dalam setiap perlawanan.
“Sudah diketahui umum bahawa Kedah menghadapi masalah kewangan yang serius musim ini, yang telah mengurangkan potensi sebenar pasukan sepanjang tahun.
“Namun, impak dan kejutan terhadap masalah ini boleh dikatakan telah berlalu, dan ia tidak lagi mempengaruhi para pemain seperti sebelumnya.
“Dalam satu aspek, para pemain sudah menjadi lebih kuat dan tabah dalam menghadapi situasi ini. Saya yakin dalam fikiran mereka, hanya ada dua perkara yang jelas:
“Pertama, mereka mahu masalah kelab ini diselesaikan dan semuanya kembali seperti sedia kala secepat mungkin.
“Kedua, mereka ingin memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan demi kepentingan diri mereka sendiri. Persembahan individu yang cemerlang boleh menjamin kontrak baharu, sama ada dengan Kedah atau kelab lain, selain daripada rasa tanggungjawab untuk membantu pasukan dan barisan kejurulatihan menamatkan musim ini dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Majoriti.
Tambah Marcote lagi, beliau percaya bahawa para pemain tetap memegang prinsip dan komitmen tinggi selagi bersama kelab.
“Ramai pemain, Kedah adalah kelab dari kampung halaman mereka, kelab yang mereka wakili sejak kecil, kelab yang menjadi idola mereka dalam dunia bola sepak dan Stadium Darul Aman adalah tempat di mana mereka menyaksikan malam-malam penuh magis dalam sukan ini.
“Apabila seseorang pemain mempunyai rasa cinta dan rasa memiliki terhadap kelab, semua kesulitan akan dilupakan sebaik sahaja wisel perlawanan dibunyikan. Mereka akan bertarung habis-habisan dengan segala yang mereka ada, hingga ke titisan terakhir.
“Apabila perkara ini berlaku, tanpa mengira keputusan akhir perlawanan, para penyokong pasti akan berasa bangga terhadap usaha dan semangat para pemain.
“Apa yang lebih buruk boleh berlaku kepada Kedah? Saya sendiri tidak tahu. Tetapi saya hanya berharap agar kelab bersejarah Malaysia itu akan segera pulih dari segi kewangan dan kembali kepada kedudukan yang sewajarnya dalam arena bola sepak negara,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram