PENYERANG berbisa, Bergson da Silva mendedahkan bahawa Johor Darul Takzim (JDT) tidak takut kepada mana-mana pasukan dan berhasrat untuk kembali dengan tiga mata menentang BG Pathum United dalam perlawanan Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada Selasa.
Meskipun BG Pathum United merupakan salah satu daripada lima pasukan teratas dalam Liga 1 Thailand, namun penyerang kelahiran Brazil itu percaya JDT tidak akan dipengaruhi dengan statistik tersebut dan bertekad untuk bangkit daripada kekalahan tipis 0-1 ketika berdepan Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ismail (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada 19 September lalu.
Dalam kancah bola sepak domestik, Harimau Selatan menjadi satu-satunya pasukan yang tidak pernah kalah dalam semua perlawanan Liga Malaysia (Liga M) sejak musim 2022.