SAMBUTAN Hari Raya belum berakhir tapi Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah berangkat ke Sepanyol bagi memulakan kempen pramusim mereka di negara Eropah itu sebagai persediaan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE).
Sebelum ini, Harimau Selatan sudah ‘memanaskan enjin’ mereka dengan menentang beberapa kelab Asia Tenggara seperti pasukan divisyen satu Thailand, Police Tero, Chonburi FC dan jaguh Liga Singapura, Lion City Sailors FC.
Jelajah pramusim di negara yang melahirkan banyak bintang bola sepak dunia itu akan menjadi platform buat skuad kendalian Hector Bidoglio mencari keserasian dan mencipta taktikal sesuai untuk digunakan setiap pertandingan disertai JDT.