DEMI membantu perjuangan jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang di pentas Olimpik Paris 2024, Institut Sukan Negara (ISN) mengambil langkah luar biasa apabila membawa pakar jantung buat pertama kalinya ke temasya berkenaan, lapor Buletin TV3.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Faedzal Md. Ramli, tindakan itu dibuat bagi memberikan perhatian khusus kepada Azizulhasni dalam memastikan keselamatan dan kesihatan sandaran pingat emas negara itu yang sebelum ini dipalit masalah jantung.
Di bawah program Road To Gold (RTG), ISN dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) membuat inisiatif tambahan dalam memastikan keselamatan semua atlet negara yang bertanding.