PENYERANG berbisa Terengganu FC, Ivan Mamut memberi bayangan bahawa dia akan terus beraksi dalam kancah Liga Malaysia musim depan, meskipun sebelum ini dikaitkan dengan kepulangan ke Eropah.
Penyerang kelahiran Croatia itu menyatakan bahawa dia kini hampir 90 peratus pasti akan kekal di Malaysia.
Menurutnya, selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan, dia bertekad untuk membuktikan kemampuannya sebagai salah seorang penyerang terbaik dalam Liga Super.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: Ivan Mamut luah kecewa, gaji tak dibayar lebih 9 bulan
BACA LAGI: ‘Satu hati demi Perak FC’, tubuh koperasi jadi harapan demi hidupkan semula TBG
Menariknya, Mamut turut mendedahkan bahawa beberapa kelab tempatan telah mengemukakan tawaran dan dia kini sedang mempertimbangkan destinasi terbaik untuk musim hadapan.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga kelab Liga Malaysia yang dilihat paling sesuai untuk menjadi destinasi seterusnya bagi penyerang tinggi lampai berusia 28 tahun itu.
1. Sabah FC
Sabah FC dilihat sebagai antara destinasi paling ideal untuk Ivan Mamut bagi menghadapi musim Liga Malaysia musim depan.
Selepas kehilangan dua penyerang import, Ramon Machado yang memilih untuk meninggalkan kelab dan Joao Pedro yang dipinjamkan ke Ho Chi Minh City FC di Vietnam, jentera serangan Sang Badak dilihat semakin tumpul dan gagal mencipta jumlah jaringan yang memuaskan.
Walaupun Sabah masih memiliki penyerang Harimau Malaya, Darren Lok, faktor usia yang semakin meningkat sedikit sebanyak menjejaskan ketajamannya di bahagian hadapan.
Sabah FC memerlukan penyerang berbisa untuk membantu Darren Lok di bahagian serangan. — Facebook/Sabahfc
Kehadiran Mamut dijangka mampu memperbaiki masalah itu serta memberikan nafas baharu kepada barisan serangan pasukan.
Dengan rekod cemerlang menjaringkan 23 gol bersama Terengganu FC pada musim 2024, gandingan Mamut bersama Lok berpotensi menjadi ancaman utama kepada pertahanan lawan dan sekali gus menghidupkan semula sengat Sabah FC di pentas Liga Super.
2. Sri Pahang FC
Kehilangan perancang tengah berpengalaman, Sergio Aguero memberi tamparan besar kepada Sri Pahang FC apabila bahagian serangan dilihat mula kehilangan sengat.
Pemain berusia 31 tahun itu merupakan watak penting dalam kejayaan pasukan, termasuk pencapaian sebagai naib juara Piala Malaysia 2024.
Dalam situasi itu, kehadiran Mamut dilihat mampu menjadi penyelesaian tepat bagi memperkuatkan jentera serangan Tok Gajah yang kini dibarisi penyerang seperti Kpah Sherman dan Mykola Agapov.
Jodoh Sergio Aguero bersama Pahang FC dikatakan sudah berakhir. — Instagram/aguero.sergio16
Ketajaman dan pengalaman Mamut diyakini dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Aguero serta menambah dimensi baharu dalam corak serangan pasukan.
Namun begitu, harapan untuk melihat Mamut menyarung jersi Sri Pahang tampak sukar menjadi kenyataan apabila timbul dakwaan bahawa pasukan Pantai Timur itu tidak akan menyertai saingan Liga Super musim depan akibat masalah kewangan.
Keadaan bertambah rumit apabila pemilik kelab, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, mengumumkan hasrat untuk berundur pada musim hadapan, sekali gus menimbulkan ketidaktentuan mengenai hala tuju kelab.
3. Melaka FC
Selepas muncul juara Liga A1 Semi Pro 2024, Melaka FC pastinya merancang untuk memperkuatkan skuad mereka menjelang kemunculan semula dalam saingan Liga Super musim depan.
Persiapan awal sudahpun bermula, dengan laporan menyebut Melaka sedang mengintai tiga pemain berpengalaman tanah air iaitu bek kiri Sri Pahang, Syazwan Andik, pemain sayap, T. Saravanan dan pemain tengah Sabah FC, Irfan Fazail.
Melaka FC merancang untuk memperkukuh skuad mereka andai beraksi di Liga Super musim depan. — Facebook
Dalam usaha membina pasukan yang lebih kompetitif, tidak mustahil jika Melaka turut mempertimbangkan untuk menambah ketajaman di jentera serangan dengan merekrut penyerang prolifik, Mamut.
Dengan hasrat Mamut yang mahu terus beraksi di Liga Malaysia dan kontraknya bersama Terengganu FC sudah pun berakhir, peluang untuk menyertai skuad baharu seperti Melaka mungkin menjadi langkah terbaik buat kariernya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram