PENYERANG sayap skuad kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid mahu sekali lagi ‘menggegar’ negara ‘Tembok Besar’ dalam membantu Malaysia mengekalkan rentak kemenangan pada dua aksi antarabangsa Tier 1 berdepan Syria dan China, di Chengdu, China pada September.
Pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT) itu menjaringkan dua gol dalam Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) untuk Harimau Muda di Changshu, China pada 2018, dan ramai percaya dia boleh meneruskan tuahnya apabila pasukan negara beraksi dalam dua aksi persahabatan antarabangsa di Chengdu minggu ini.
Pemain berusia 26 tahun itu berkata, dia tidak sabar untuk bertemu kedua-dua pasukan tersebut dan apabila ditanya sama ada dia sedang mencari gol seperti pada 2018, dia ketawa kecil.