Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
DITUNJUKKAN berpelukan dengan pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh dan dua penolong jurulatih, Datuk Ahmad Yusof dan Shaharuddin Rosdi, ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, menyimpulkan detik itu lebih menceritakan satu kegembiraan berbanding kelegaan semata-mata.
Kepadanya, detik itu yang boleh ditonton menerusi siaran langsung televisyen pada penghujung perlawanan peringkat kedua pusingan 16 terakhir Piala Malaysia menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad, mendedahkan apa yang selama ini terbuku di hati mereka.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Bukanlah ia sesuatu yang luar biasa pun – barisan kejurulatihan lazimnya berpelukan selepas setiap kemenangan sebagai merakamkan ucapan tahniah kepada satu sama lain – tetapi kali ini ia dirasakan sedikit istimewa.
BACA LAGI: Akui berdepan tugas berat bertemu Selangor, Fandi Ahmad taruh harapan di bahu Kpah Sherman
BACA LAGI: Mahu balas jasa Fandi Ahmad, Stefano Brundo ‘asah gading’ tunggu masa bantu Tok Gajah ‘mengamuk’
Fandi sudah tentu berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya. — Facebook/Sri Pahang FC
Keempat-empatnya bagaimanapun tidak mahu membiarkan kegembiraan itu berlarutan terlalu lama kerana mahu menyimpannya untuk pencapaian lebih membanggakan – diyakini mereka akan menyusul kemudian nanti.
“Jika tanya saya ia tanda kegembiraan ataupun kelegaan, saya katakan ia cerminan kepada kegembiraan kami ketika itu (mengalahkan Selangor FC di tempatnya sendiri).
“Semua orang pun tahu musim ini amat sukar bagi kami dengan masalah yang dihadapi pasukan, banyak keputusan perlawanan yang tidak memihak kami dan masalah kecederaan yang menyukarkan lagi keadaan.
“Jadi, untuk datang ke tempat Selangor dan dapat melepasi halangan (aksi timbal balik ini), tentunya ia memberi kami sebab untuk meraikan detik ini,” kongsinya dengan Bola Pegun.
Dollah menambah: “Memang itulah dia. Kami memang tempuh kesukaran dengan macam-macam hal. Alhamdulillah suka rasanya bila dapat kemenangan, lebih-lebih lagi dengan salah satu team favourite.”
Berbekalkan keputusan seri 1-1 di Stadium Temerloh pada 23 November lalu, Sri Pahang FC memenangi aksi malam tadi 2-1 menerusi dua sepakan penalti selepas semakan VAR – pertama daripada Manuel Hidalgo (m-25) dan yang kedua oleh Sergio Aguero (m-85) selepas tuan rumah mengikat kedudukan 1-1 hasil tandukan Safuwan Baharudin (m-77) – untuk kemenangan agregat 3-2.
Aguero menjaringkan gol kemenangan buat skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Dalam pada itu, Fandi berkata, kegagalan memenangi aksi di Temerloh selepas skuad Gergasi Merah itu bangkit memadamkan jaringan Sean Selvaraj (m-27) hasil gol lewat Nikola Jambor (m-83) tidak mematikan semangat mereka untuk berhabis-habisan dalam aksi timbal balik.
“Ada kalanya kesilapan pada saat-saat genting dan hilang penumpuan seketika menghukum pasukan. Tetapi kami masih berkeyakinan kami mampu mengejutkan mereka di Kelana Jaya.
“Dalam perlawanan kedua ini, kami nyata berbeza. Pemain-pemain menunjukkan tahap disiplin dan komitmen yang tinggi dengan mengurangkan peluang-peluang yang boleh dimanfaatkan oleh Selangor. Kami tidak benarkan mereka untuk ‘settle down’.
“Secara taktikal kami menggunakan strategi ‘soak and counter’ – menyerap tekanan daripada tuan rumah dan mengatur gerakan balas kami sendiri.
“Sebagai sebuah pasukan, kerjasama yang ditunjukkan pemain-pemain saya dalam perlawanan ini adalah di tahap terbaik. Kami berhak rasa gembira untuk itu,” katanya.
Persembahan Zarif Irfan (kanan) wajar diberikan pujian. — Facebook/Selangor FC
Tanpa langsung berniat merendahkan cabaran Selangor FC, Fandi mengakui kagum dengan kejaguhan pasukan Lembah Klang itu, cuma apa yang membezakan kali ini ialah pemain-pemain Tok Gajah lebih berkeyakinan dan tidak berasa diri mereka kerdil.
Berkongsi lebih lanjut faktor-faktor berkenaan, jurulatih berusia 62 tahun itu mengaitkannya dengan satu perlawanan persahabatan Sri Pahang FC dengan Terengganu FC ketika liga berhenti rehat dua minggu lalu.
“Kami menggunakan perlawanan persahabatan itu untuk menguji dua set pemain, satu dalam setiap separuh masa. Hasilnya, kami dapati set kedua pemain lebih baik dan barisan yang diturunkan dalam Piala Malaysia adalah gabungan terbaik kedua-duanya tapi majoritinya adalah dari set kedua.
“Saya mahu melihat lebih penekanan kepada serangan, apa yang dipanggil corak bola sepak yang menggerakkan bola lebih ke hadapan daripada berlegar-legar di kawasan tengah padang.
“Akhirnya saya temui apa yang saya cari-cari sepanjang musim ini. Ya, ia mengambil masa yang sangat lama tapi ini memberi kami keyakinan dalam menghadapi perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya.
Hidalgo turut memainkan peranan penting buat skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Di sebalik memberi pujian kepada keseluruhan pemain, Fandi tidak terhindar daripada menyebut nama dua pemain – penyerang, Mykola Ahapov, dan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin – gara-gara kecemerlangan mereka.
Ahapov, walaupun tidak menghasilkan jaringan, adalah penyumbang kepada kedua-dua sepakan penalti Tok Gajah dengan kelincahannya, pertama kerana dijatuhkan Harith Haiqal Adam Afkar dan yang kedua kerana ditarik oleh Quentin Cheng.
Zarif Irfan pula diingati kerana menggagalkan dua percubaan tuan rumah menerusi Aliff Haiqal Lau dan Ali Olwan pada minit-minit terakhir.
“Ahapov benar-benar cemerlang dan memberikan masalah kepada pertahanan Selangor. Jika tidak kerana Zarif pula, kami tidak akan berada dalam suku akhir,” katanya.
Fandi berkata, dia memberi kata-kata semangat kepada penjaga gol itu sewaktu makan tengah hari pada hari perlawanan bagi menaikkan semula keyakinannya selepas dia tidak berhenti-henti menyalahkan dirinya kerana membenarkan Selangor FC bangkit di Temerloh.
“Saya memberitahunya (Zarif) bahawa dia perlu lebih menikmati perlawanan, perlu sentiasa fokus dan mengarahkan pemain pertahanan.
“Saya gembira dua aksi menyelamatnya pada penghujung permainan menyelamatkan kami,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram