Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
SUDAH banyak keluh-kesah yang didengar daripada Fandi Ahmad sejak awal musim ini. Satu demi satu masalah dihadapi hinggakan ketua jurulatih Sri Pahang FC itu mengeluh terhadap pelbagai kemelut yang seolah-olah tidak mahu berkesudahan hinggalah keputusan seri dengn Kuala Lumpur City (KLC) FC, Sabtu lalu membawa sedikit sinar.
“Alhamdulillah, kita dapat satu mata… tidak mengalami kekalahan ketiga (dalam liga) yang paling penting untuk moral pasukan kita,” katanya mengenai keputusan 0-0 di Stadium Cheras itu yang mengakhiri dua kekalahan berturut-turut – 0-3 kepada JDT (22 Jun) dan 0-2 kepada Negeri Sembilan FC (13 Julai) yang memberikan lawan kemenangan pertamanya musim ini.