SAINGAN Piala Asia yang bakal bermula kira-kira tiga minggu sahaja lagi mendesak skuad kebangsaan mengadakan persiapan terakhir mereka.
Di samping mengadakan aksi persahabatan, sesi latihan berpusat juga perlu dibuat dalam memastikan keserasian antara satu sama lain berada di tahap terbaik.
Langkah tersebut sememangnya sudah diambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila kesemua 26 pemain sudah dipanggil untuk memulakan latihan pada Selasa.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Berdasarkan kesemua yang berada dalam senarai, ia boleh dianggap sebagai satu skuad cukup mantap dengan pandangan itu disokong prestasi mereka sejak kebelakangan ini.
Kehadiran pemain naturalisasi baharu, Romel Morales dilihat akan memperkuatkan lagi pasukan apabila beban mengemudi barisan serangan ketika ini hanya dipikul Darren Lok.
Pan-gon menyatakan bahawa pemain Harimau Malaya ketika ini memuaskan hatinya.
Barisan pertahanan yang dijangka diketuai Dion Cools pastinya diletakkan sandaran untuk menyekat pihak lawan sepanjang kempen Piala Asia.
Namun, masih terdapat persoalan sekiranya ketua jurulatih, Kim Pan-gon akan membuat perubahan minit-minit akhir terhadap senarai 26 pemain yang sudah dipanggil.
Teka-teki berkenaan terjawab apabila pengendali dari Korea Selatan itu mengatakan dia berpuas hati dengan skuad Harimau Malaya yang diminta melaporkan diri baru-baru ini.
Bagaimanapun, dengan senarai tersebut masih belum dimuktamadkan, terdapat kemungkinan perubahan masih akan dibuat sebelum mereka berlepas ke Qatar.
Melihat kepada skuad dipanggil ke kem latihan, Majoriti menyenaraikan tiga kelainan yang mungkin akan dibuat Pan-gon dalam memastikan Harimau Malaya berada di tahap terbaik.
1. Menggugurkan Natxo Insa
Antara nama yang mencuri perhatian ketika senarai 26 pemain dikeluarkan FAM pastinya pemain tengah berusia, Natxo Insa memandangkan dia kurang meraih minit permainan musim ini.
Dia yang pernah diangkat sebagai jeneral tengah terbaik bagi Harimau Malaya jarang beraksi buat negara dengan beberapa siri kecederaan pernah dialaminya.
Tetapi, dengan usianya sudah mencecah 37 tahun, pemain Johor Darul Takzim (JDT) terbabit kian menghampiri penghujung kariernya apabila kecergasannya terus terjejas.
Natxo dipanggil melihatkan kepada pengalaman dan kebolehannya yang berkualiti. — Facebook/FAM
Jadi, sekiranya perubahan mahu dibuat Pan-gon sebelum mengeluarkan senarai terakhir, Natxo dilihat sebagai salah seorang nama yang bakal digugurkan.
Meskipun tiada pengganti tepat untuk mengisi posisinya, skuad kebangsaan masih boleh memberikan kepercayaan terhadap Brendan Gan atau Afiq Fazail sepanjang kempen Piala Asia.
Namun, jika Harimau Malaya mahu mendapatkan seseorang dengan kebolehan seorang pemain tengah bertahan berkualiti, rakan sepasukannya di JDT, Hong Wan merupakan pilihan terbaik.
2. Menggantikan penjaga gol
Berdasarkan senarai 26 pemain dikeluarkan FAM, tiga penjaga gol yang dipanggil Pan-gon ialah Syihan Hazmi, Azri Ghani dan Sikh Izhan Nazrel.
Ketiga-tiga mereka diberikan peluang setelah aksi yang cukup cemerlang bersama pasukan masing-masing dalam beberapa musim kebelakangan ini.
Bagaimanapun, masih terdapat segelintir penyokong yang berasakan masih terdapat pilihan lebih baik untuk dipanggil ke Piala Asia nanti.
Suhaimi pernah diberikan peluang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Salah seorang yang disebut-sebut ialah penjaga gol Terengganu FC, Suhaimi Hussin meskipun rekod pertahanan pasukannya bukanlah di tahap terbaik musim ini.
Tetapi, aksinya yang konsisten serta cemerlang, termasuk ketika aksi suku akhir Piala Malaysia berdepan Selangor FC meningkatkan reputasinya dalam kalangan penyokong.
Pemain berusia 29 tahun terbabit sebelum ini pernah diberikan peluang Pan-gon untuk aksi Pestabola Merdeka meskipun dia hanya diletakkan di bangku simpanan.
Jadi, sekiranya terdapat pertukaran dibuat menjelang pertandingan itu nanti, Suhaimi merupakan antara yang boleh dipanggil jika Azri atau Sikh Izhan digugurkan.
3. Melepaskan Romel Morales
Pandangan untuk melepaskan Romel Morales sememangnya sukar diterima memandangkan penyerang itu merupakan kunci utama dalam membawa perubahan terhadap jentera serangan Harimau Malaya.
Rekodnya yang cukup baik sepanjang lima musim dalam Liga Super di samping usianya yang baru sahaja 26 tahun memberi bayangan bahawa dia akan memainkan peranan penting.
Tetapi, terdapat persoalan mengenai kebolehannya untuk menyesuaikan diri dalam pasukan apabila dia baru sahaja dipanggil untuk menyertai kem latihan.
Romel Morales masih belum cukup serasi buat skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Situasi itu menyebabkan beberapa penyokong mahu penyerang kelahiran Colombia berkenaan digugurkan kerana mereka khuatir kehadirannya akan mengganggu taktikal Pan-gon.
Namun, persoalannya, sekiranya penyerang itu digugurkan, siapakah calon utama untuk mengisi posisi terbabit dengan tiada calon terbaik boleh dipilih.
Antara alternatif lain boleh diambilnya adalah dengan meletakkan Paulo Josue sebagai penyerang seperti mana sering dilakukan Pan-gon.
Meskipun ia tidak menjanjikan sentuhan serangan yang efisien, kesefahaman pemain naturalisasi itu dalam pasukan sedikit sebanyak membawa kelebihan untuk kempen Piala Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram