PENGENDALI skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, E. Elavarasan akur perlu membentuk pasukan terbaik dengan pilihan pemain yang terhad menjelang Kejohanan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2023 di Rayong,Thailand, bermula pada Khamis.
Kejohanan sehingga 26 Ogos ini berlangsung di luar kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memaksa Elavarasan tidak menyenaraikan beberapa pemain berprofil tinggi kerana komitmen bersama kelab masing-masing.
Bagaimanapun, Elavarasan mahu memanfaatkan situasi itu sepenuhnya bagi melihat potensi pemain yang belum pernah beraksi, selain memperbaiki kelemahan skuad Harimau Muda untuk menghadapi tugasan lebih getir pada pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Thailand, bulan depan.





