SKUAD Harimau Malaya mengorak langkah kanan dalam aksi pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 apabila menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.
Kejayaan mengutip tiga mata itu memberi kelegaan buat Peter Cklamovski bagi perlawanan pertamanya sejak dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, Disember lalu.
Manisnya aksi tersebut, pemain warisan baharu, Hector Hevel menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan sulungnya bersama skuad kebangsaan dengan menyumbang satu gol pada minit ke-29 menerusi satu rembatan padu dari luar kotak penalti.