PEMAIN beregu wanita, Pearly Tan mengakui bahawa pernah menonton secara diam-diam Datuk Lee Chong Wei beraksi di Sukan Olimpik walaupun semasa dalam kelas tuisyen kerana semangat juang figura itu adalah sesuatu yang memberi inspirasi kepadanya.
Selain Pearly, pasangannya iaitu M. Thinaah juga kagum dengan Chong Wei dengan mahu menunjukkan semangat juang yang sama untuk bermain dalam kehidupan mereka selepas mara ke suku akhir Sukan Olimpik Paris.
Chong Wei ialah atlet Olimpik Malaysia yang paling berjaya apabila memenangi tiga pingat perak berturut-turut dalam perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik 2008 Beijing, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.