MESKIPUN berstatus pencabar serius tiga musim kebelakangan ini, Terengganu FC masih belum bernasib baik untuk menjulang sebarang kejuaraan, baik di peringkat domestik mahupun Asia.
Penyingkiran di peringkat separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia musim ini adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan kerana mereka bertemu Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kedua-dua kejohanan itu.
Lebih menyakitkan lagi, skuad Sang Penyu turut mengalami nasib malang dalam kempen Piala Shopee apabila gagal meloloskan diri ke pusingan kalah mati setelah hanya menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga keempat.