PERSEKUTUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelaskan bahawa perbincangan lanjut akan diadakan pada Sabtu ini bagi menentukan siapa calon terbaik mengisi jawatan ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara.
Pada Isnin lalu, badan induk bola sepak negara itu mengumumkan bahawa E. Elavarasan memutuskan untuk meninggalkan jawatan tersebut susulan tekanan daripada penyokong bola sepak tanah air yang dilihat kurang berpuas hati dengan taktikal diterapkannya.
Untuk rekod, Elavarasan diumumkan sebagai pengendali skuad B-23 kebangsaan pada 1 September 2022 bagi menggantikan Brad Maloney dan pada masa sama masih memegang jawatan sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya di bawah bimbingan Kim Pan-gon.