KIRA-KIRA tiga perlawanan Liga Super lagi akan memberi jaminan sama ada Selangor FC berhasil mendapat tempat ke pentas Asia musim depan sesuai dengan sasaran kelab berpangkalan di Lembah Klang berkenaan.
Walaupun perjuangan di Piala FA dan Piala Malaysia terkandas namun tidak dapat dinafikan prestasi Gergasi Merah dalam saingan Liga Super wajar mendapat pujian daripada penyokongnya selepas berhasil menghuni kedudukan kedua dengan memungut sebanyak 52 mata.
Selain kredit diberikan pada pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe, barisan pemain yang tidak henti bertungkus-lumus memainkan peranan masing-masing dalam memastikan Gergasi Merah mendapatkan 17 kemenangan daripada 23 perlawanan liga juga pantas untuk menerima respons positif daripada penyokong.