SECARA asasnya, tugas mencari gol dalam bola sepak adalah kerja yang dilakukan penyerang. Namun, bola sepak kini sudah pun berubah.
Selain penyerang, kita kerap saksikan gol daripada pemain sayap. Malah, pemain tengah menyerang juga sering mendapatkan jumlah jaringan tinggi setiap musim.
Satu posisi yang turut menghasilkan gol tinggi adalah pertahanan tengah. Di Liga Super, beberapa pertahanan tengah turut mencipta sensasi apabila berjaya menggegarkan gawang lawan sepanjang musim 2024/2025.
BACA LAGI: Kapten Sang Kenari hangat di pasaran, Penang FC dikatakan paling berminat
BACA LAGI: Penang FC rasa tidak dihargai, MFL lanjutkan tarikh Lesen Kebangsaan MFL
Rafael Vitor
Setia bersama Harimau Kumbang, nama Rafael Vitor sentiasa popular dalam kalangan penyokong dengan persembahannya sebagai pertahanan tengah.
Kini merupakan ketua pasukan Penang FC, Vitor bukan saja menyumbang kepada pertahanan Harimau Kumbang, sebaliknya kepada jaringan kelab Utara itu.
Rafael Vitor merupakan ketua pasukan Penang.
Musim ini, Vitor menghasilkan empat gol buat Penang dan sumbangannya itu menjadikanya antara tiga pertahanan tengah paling banyak menjaringkan gol musim ini.
Tugasnya sebagai pengambil sepakan penalti Penang turut memainkan peranan kepada jumlah golnya musim ini. Dengan sumbangannya itu, pastinya penyokong Penang akan ternanti-nanti persembahan seterusnya daripada Vitor pada musim depan.
Stefano Brundo
Musim ini, selain kapten Penang, ketua pasukan Sri Pahang FC iaitu Stefano Brundo turut menghasilkan banyak jaringan buat kelabnya.
Brundo yang merupakan seorang pemain versatil merupakan pertahanan tengah paling prolifik dari segi jaringan musim ini apabila mendahului jumlah gol.
Brundo (jersi kuning) merupakan pertahanan tengah paling tinggi jaringannya musim ini.
Mengikut statistik, Brundo menghasilkan tujuh gol buat Sri Pahang musim ini dan itu adalah rekod terbaik dihasilkan mana-mana pertahanan Liga Super mengatasi Vitor dengan empat gol.
Rekod itu dilihat baik ditambah faktor pemain itu ada masanya akan ditolak ke posisi tengah oleh Fandi Ahmad.
Cleylton
Jodohnya bersama Kedah Darul Aman FC mungkin tidak lama, tapi persembahan oleh Cleylton sentiasa meninggalkan kesan kepada penyokong.
Pemain kelahiran Fortaleza, Brazil itu hanya beraksi selama setengah musim bersama-sama Kedah sebelum berpindah ke Indonesia menyertai Datuk Ong Kim Swee di Persis Solo.
Cleylton hanya setengah musim bersama Kedah.
Walaupun masanya singkat saja bersama Kedah, namun Cleylton berjaya menghasilkan empat gol dalam 15 penampilan. Jumlahnya sama seperti yang dilakukan oleh Vitor untuk Penang.
Seandainya Cleylton terus bersama Kedah, berkemungkinan rekod jaringannya akan menjadi lebih besar berbanding setengah musim dia bersama Sang Kenari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram