PEMBUKAAN acara muzik dan kebudayaan terbesar Asia Tengah iaitu Festival Muzik Antarabangsa, Sharq Taronalari ke-13 yang diadakan di Samarkand, Uzbekistan pada malam Isnin berlangsung gah dan meriah dengan tuan rumah menampilkan satu persembahan kebudayaan luar biasa daripada pelbagai negara.
Acara itu diadakan di Dataran Registan, yang diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO, kira-kira 300 kilometer dari ibu negaranya, Tashkent. Ia melibatkan penyertaan lebih 300 orang peserta daripada kira-kira 80 buah negara.
Sharq Taronalari yang bermaksud Melodi Timur, merupakan festival terbesar di Asia Tengah. Ia mula diperkenalkan pada 1997 dan diadakan dua kali setahun, anjuran Kementerian Kebudayaan negara itu.